Penyenaraian syarikat dijangka terus rancak

Oct 27, 2022 | News | 0 comments

Aktiviti mengumpul modal menerusi tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia dijangka kekal memberangsangkan hingga tahun depan meskipun pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan lebih perlahan susulan ketidaktentuan global.

Ketua Jualan Ekuiti, Rakuten Trade, Vincent Lau, berkata setakat ini, pasaran IPO masih rancak seperti yang boleh dilihat daripada bilangan tawaran dan pendedahan prospektus syarikat yang bakal disenaraikan terus kukuh.

Katanya, sektor teknologi, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), semikonduktor dan berkaitan perubatan mencatatkan prestasi yang baik seperti syarikat SFP Tech Holdings Bhd, Umedic Group Bhd, Cnergenz Bhd, LGMS Bhd, Cengild Medical Bhd dan Agmo Holdings Bhd.

“Pada hakikatnya, kita akan terus mendapat permintaan untuk syarikat kukuh yang bakal disenaraikan dan kadar lebih langgan menjadi petunjuk yang baik.”

“Pulangan pelaburan dalam jangka panjang adalah positif bagi syarikat dengan asas yang kukuh. Secara keseluruhannya, pasaran IPO Bursa Malaysia mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dari segi bilangan IPO dan juga dari segi syarikat besar yang tersenarai,” katanya kapada BH.

Mengenai sama ada kenaikan kadar faedah berterusan akan menjejaskan penyenaraian IPO tempatan, Lau berkata, ia tidak memberi kesan kepada syarikat untuk disenaraikan.

“Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami tetap kukuh dan Bank Dunia meningkatkan unjuran pertumbuhan KDNK kepada 6.4 peratus (sebelum ini 5.5 peratus).

“Kenaikan kadar tiada kesan ke atas syarikat yang melaksanakan penyenaraian memandangkan mereka mengambil kesempatan daripada pasaran ekuiti untuk meraih dana daripada sumber yang pelbagai, iaitu daripada pelabur dan bukannya bergantung semata-mata pada pinjaman bank,” katanya.

Tambahnya, pelabur asing adalah pembeli bersih lebih RM7 bilion ekuiti tempatan sehingga tarikh semasa pada tahun ini. “Sebahagian besar penyenaraian setakat ini adalah di Pasaran ACE, dengan beberapa penyenaraian di Pasaran Utama dan pelabur asing lazimnya berminat dalam penyenaraian lebih besar seperti Farm Fresh Bhd.

“Ketika ini sudah ada 20 IPO di Bursa Malaysia dan berasaskan pendedahan prospektus yang menggalakkan, ada beberapa lagi penyenaraian yang bakal dilaksanakan menjelang akhir tahun ini dan jumlahnya mungkin hampir 30 (syarikat),” katanya.

Ditanya adakah pelabur perlu berhati-hati dengan IPO tempatan kerana tiada data harga masa lalu dan tahap turun naik harga lazimnya lebih tinggi, Lau berkata, syarikat yang baharu disenaraikan lazimnya mencatatkan prestasi yang baik pada tahun awal penyenaraian kerana berada di ambang fasa pertumbuhan yang seterusnya.

“Sebab itu mereka melaksanakan penyenaraian menerusi IPO dan kemudian berkembang maju daripada Pasaran LEAP kepada Pasaran ACE dan kemudian menuju ke Pasaran Utama,” katanya.

0 Comments